Sup ABC amat digemari di dalam setiap rumahtangga bangsa Cina. Saya merasakan adalah merugikan jika saya tidak berkongsi resepi sup ini bersama-sama anda yang mengikuti perkembangan saya dari semasa ke semasa. Kami tidak pasti mengapa dan bagaimana sup ini mendapat namanya, tapi apabila disebut pada mana-mana rakan berbangsa Cina, sudah tentu dia mengenalinya. Sup ini adalah sangat menyihatkan, sangat mudah untuk dimasak serta diperbuat daripada bahan-bahan yang amat mudah didapati. Dan ia juga sangat sesuai untuk anak-anak kecil yang tidak boleh makan pedas. Ikuti di bawah resepi turun-temurun dari sahabat Cina saya : 

RESEPI SUP ABC

3 biji kentang, dikupas kulit dan dibelah 8
2 biji lobak merah
2 biji buah tomato
2 batang saderi (optional)
 1 ekor tulang rangka ayam

1 kiub stok ayam
1 biji bawang besar, dibelah 8
Air rebusan ayam 
Garam secukup rasa

Lada sulah secukup rasa

1. Masukkan 3/4 air rebusan ayam ke dalam periuk dan tulang rangka ayam dan rebus dahulu selama 20 minit. Buang lemak dan buih yang timbul di permukaan periuk.
2. Dadukan kesemua bahan-bahan kentang, lobak merah, saderi, bawang besar dan tomato. Masukkan kesemua bahan-bahan tersebut ke dalam periuk.
3. Rebus sehingga mendidih dan masukkan bahan-bahan perisa iaitu kiub stok ayam, lada sulah dan garam. Masak sehingga sayur-sayuran lembut dan tutup api. Hidang bersama sedikit daun saderi yang dicincang ditabur di atas. Enak dimakan bersama nasi putih dan sedikit cili potong berkicap.